DARI MEJA PENGARAH

KPTM Kuantan Gemilang - “Berilmu, Beramal, Berbakti.”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kolej Poly-Tech MARA Kuantan (KPTM Kuantan) merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang beriltizam dalam melahirkan insan berilmu, berketerampilan dan berdaya saing bagi memenuhi aspirasi negara. Komitmen ini berpaksikan visi dan misi KPTM serta MARA yang sentiasa mendahulukan kepentingan agama, masyarakat dan pembangunan negara secara holistik.

KPTM Kuantan menawarkan pelbagai program pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Sumber Manusia serta Pengurusan Sukan. Program-program ini dirangka untuk memenuhi keperluan semasa industri dan menyediakan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran praktikal yang relevan dan berimpak tinggi. KPTM Kuantan juga komited menyediakan platform pendidikan yang seimbang antara teori dan amali, selaras dengan kehendak industri.

Sejajar dengan usaha berterusan ke arah kecemerlangan, KPTM Kuantan telah meraih beberapa pencapaian membanggakan iaitu Pensijilan ISO 9001:2015 dan ianya adalah sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan sistem pengurusan kualiti yang mantap dan berkesan. Selain itu juga, KPTM Kuantan telah menerima Penarafan 5 Bintang di dalam Pensijilan Mara Ecosystem Quality Standard (MQS) bagi tahun 2025. Ini membuktikan bahawa KPTM Kuantan mempunyai sistem yang kukuh terhadap kualiti akademik dan pengurusan institusi yang cemerlang. Seterusnya, KPTM Kuantan juga telah menerima Pengiktirafan sebagai Institusi Berdaya Saing dalam MyQUEST.

Ini mencerminkan kemampuan KPTM Kuantan untuk bersaing dan mengekalkan standard pendidikan tinggi yang unggul di peringkat nasional. Bagi tahun 2024 dan 2025 pula, KPTM Kuantan telah menerima Anugerah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) Terbaik untuk dua tahun berturut-turut. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi dalam jaringan institusi pendidikan MARA atas kecemerlangan keseluruhan meliputi akademik, pengurusan pelajar, pembangunan staf dan impak sosial.

Sebagai bukti keberkesanan sistem pendidikan kami juga, kajian pengesanan graduan menunjukkan sebahagian besar lepasan graduan KPTM Kuantan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Malah, sebilangan alumni kami telah menempatkan diri dalam sektor korporat dan kerajaan, malah tidak kurang juga yang bergelar usahawan muda yang berjaya.

KPTM Kuantan turut aktif dalam melahirkan graduan seimbang melalui program pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemasyarakatan. Pelajar diberi ruang dan peluang menyertai pelbagai program kesukarelawanan, aktiviti sosial, forum ilmiah dan program pembangunan bakat sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran bersepadu.

Dengan kemudahan pembelajaran yang kondusif, sokongan pensyarah berpengalaman, serta suasana kampus yang harmoni, KPTM Kuantan menjadi pilihan utama pelajar yang ingin membina masa depan cemerlang. Keterlibatan aktif dalam aktiviti berkualiti tinggi dan hubungan strategik dengan agensi luar membuktikan kesungguhan kami dalam menjadikan KPTM Kuantan sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan insan.

Kami mengajak anda untuk mengenali KPTM Kuantan dengan lebih dekat – lawati laman web kami, ikuti media sosial rasmi @kptmkuantan dan terokai galeri gambar serta video aktiviti kampus. Bersama kami, InsyaAllah, anda akan mengorak langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan diri.

ENCIK MOHD ZAKI BIN IBRAHIM
PENGARAH KPTM KUANTAN

VICE CHANCELLOR
 

Hubungi Kami

Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, KM 8, Jalan Gambang, 25150 Kuantan, Pahang.

Search