Previous Next

EE-PVC Wheelchair berjaya raih Silver Medal di AiNEX 2019

Pada 3 Julai 2019, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kuantan telah menghantar satu produk inovasi pelajar daripada program Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri) bagi menyertai pertandingan 3rd Advanced Innovation & Engineering Exhibition (AiNEX 2019) yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (Kampus Gambang). Produk inovasi tersebut adalah EE-PVC Wheelchair. Produk inovasi ini telah berjaya membawa pulang pingat Perak untuk kategori Kolej bagi bidang Elektrik, Elektronik dan Telekomunikasi . Pelajar yang bertanding tersebut ialah Saiful Nizam Bin Ismail (PTM170110443) dan Muhamad Zazlie Bin Zaki (PTM170110478). Dua orang pengiring turut serta dalam pertandingan ini. Mereka adalah  Ts. Aizat bin Abd Aziz dan Ts. Razmi bin Ab Rahman.

Pertandingan ini terbuka terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat sekolah, kolej dan universiti. Sebanyak 55 produk inovasi telah dipertandingkan bagi pertandingan ini mengikut kepada kategori masing-masing.  Antara IPT yang bertanding adalah UMP, UPM, UKM, UITM, KPTM Kuantan, Kolej Professional MARA, Kolej Vokasional dan banyak lagi. Selain itu, sebuah universiti dari luar negara turut menyertai pertandingan ini iaitu Manipal Universiti yang mempunyai cawangan kampus di Melaka.

EE-PVC Wheelchair adalah satu produk inovasi yang dihasilkan untuk kanak-kanak kurang upaya bagi memudahkan mereka melakukan pergerakan harian. Pada masa kini terdapat banyak kerusi roda yang terjual di pasaran samada dikawal secara manual atau automatik. Namun, masalah yang dihadapi oleh rata-rata pengguna kerusi roda ini adalah ianya berat dan sukar untuk dibawa ke mana sahaja kerana saiznya yang besar. Oleh itu, produk inovasi yang dikenali sebagai EE-PVC Wheelchair dihasilkan untuk memudahkan pengguna menggunakan kerusi roda ini kerana ianya ringan dan rangkanya boleh ditanggalkan serta pergerakannya boleh dikawal secara automatik dengan menggunakan telefon pintar ataupun joystick. Rangka kerusi roda ini diperbuat sepenuhnya daripada paip PVC yang telah dicantumkan. Kerusi roda ini berupaya menampung berat pengguna sehingga 50 kg dan ianya sesuai untuk digunakan oleh golongan kanak-kanak kurang upaya. Rangka kerusi roda ini boleh ditanggalkan supaya ianya mudah untuk diletakkan di dalam kenderaan. Selain itu, kerusi roda ini boleh menghantar notifikasi amaran kepada ibu bapa atau penjaga secara automatik melalui internet sekiranya kerusi roda ini terjatuh ketika pengguna menggunakannya.

Search